Saya antara ratusan ribu yang terlibat dan menjadi mangsa kerakusan pihak yang tidak bertanggungjawab dalam himpunan pemansuhan penggunaan Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) . Himpunan kali ini mengimbau kembali nostalgia perarakan Keranda 152 beberapa dekad lalu. Tambahan kefahaman, KERANDA 152 - simbol perjuangan bahasa yang dimulakan oleh arwah Usman Awang pada tahun 1967 dahulu.
Angka 152 adalah fasal Bahasa Melayu di dalam Perlembagaan Malaysia. Membawa KERANDA 152 adalah mengosong mayat Bahasa Melayu. Jadi kita sendiri dapat lihat siapa yang menguburkan Bahasa Melayu di Malaysia ini jika bukan UMNO dan Barisan Nasional. Dimanakah ahli dan pimpinan UMNO disaat kita semua bersusah payah berhimpun, berarak dihujahi dengan berpuluh-puluh gas pemedih mata malah menjadi mangsa siraman air water canon oleh FRU yang tak ubah seperti boneka. Inikah yang dikatakan pejuang bangsa yang dilaungkan oleh mereka selama ini ??
Saya teringat kata-kata Yang Berbahagia Profesor Datuk Nik Safiah Abdul Karim menyampaikan ceramah beliau berhubung dengan Pengajaran-Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) di Dataran Hamas, Kompleks Pas Kawasan Jasin, Melaka. Walaupun terpaksa menahan kesejukan kerana hujan namun lebih 1000 orang yang hadir tidak berganjak mendengar kupasan yang cukup akademik, bersemangat lagi menarik daripada tokoh bahasa Melayu tersohor di rantau ini.
Disini saya nyatakan tiga sebab penting mengapa PPSMI ditentang. Saya terpaksa mengambil maklumat ini dari blog Cikgu Azrin kerana rakaman suara yang dilakukan melalui telefon bimbit saya tidak dapat didengari dengan jelas tambahan suasana hujan ketika itu membataskan kerja-kerja saya.
i. Dasar ini tidak adil.
Dasar ini tidak adil kerana menganaktirikan golongan berpendapatan rendah khususnya di luar bandar. Orang yang menyokong dasar ini adalah mereka yang berpendapatan tinggi. Mereka tidak peduli orang di luar bandar yang miskin, tidak mampu menghantar anak tuisyen, malah ada yang tidak tahu ada guru tuisyen yang boleh mengajar anak-anak mereka. Dasar ini hanya mengntungkan segolongan kecil orang di bandar manakala yang rugi adalah orang luar bandar. Di mana keadila? Mengapa kita mesti menyokong dasar yang tidak adil ini?
ii. Dasar ini tiada alasan kukuh untuk dilaksanakan.
Kajian Unesco menyatakan ilmu dasar seperi sains dan matematik lebih baik diajar dalam bahasa ibundanya. Hal ini lebih disedari oleh masyarakat Cina. Mereka menolak dasar ini dan tetap mengajar murid mereka dalam bahasa Cina. Kejayaan Jepun, Korea, China, Perancis dan Jerman kerana semua negara itu mengajar sains dan matematik dalam bahasa ibunda. Di Indonesi, tiga tahun pertama persekolahan, murid diajar dalam bahasa ibunda sama ada Jawa Sunda, Makasar dan sebagainya. Hanya tahun keempat, murid diajar bahasa Indonesia. Mengapa kita tidak belajar daripada kejayaan orang lain?
iii. Dasar ini tidak betul.
Ia terbit daripada kerisauan pemimpin yang anak-anak kita tidak pandai berbahasa Inggeris. Mereka tidak risau anak-anak tidak tahu berbahasa Arab atau membaca Al-Quran dan lain-lain lagi. Mereka nak bawa ilmu dari luar, berniaga dan seumpamanya. Anak-anak mereka dihantar belajar ke luar negara bertahun-tahun, apabila pulang ke tanah air menghadapi masalah bertutur bahasa Melayu. Tetapi mereka menyalahkan bahasa Melayu sebab anak-anak mereka tidak tahu berbahasa Melayu. Mereka adalah seperti doktor yang tersalah memberi ubat untuk mengubati penyakit yang lain.
Kita perlu sedar bahawa bukan bahasa Inggeris sahaja bahasa antarabangsa malah bahasa-bahasa Arab, Sepanyol, Mandarin juga adalah bahasa antarabangsa.
Persoalan ahli-ahli bahasa ialah, mengapa hanya sains dan matematik mesti diajar dalam bahasa Inggeris? Jika anak-anak belajar sains dan matematik dalam bahasa Melayu pun mereka tidak faham dan cemerlang, apatah lagi bahasa Inggeris.
Jika ingin tingkatkan bahasa Inggeris, baikilah apa sahaja kelemahan dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa tersebut. Jangan usik bahasa Melayu. Guru-guru era pasca merdeka, khususnya yang belajar sains dan matematik dilatih dalam bahasa Melayu tetapi dikehendaki mengajar dalam bahasa Inggeris. Adilkah mereka yang berkursus bahasa Inggeris tiga bulan dipaksa melaksanakan tugas sedemikian? Sebab itu, adalah sangat zalim memaksa guru-guru mengajar sains dan matematik dalam bahasa Inggeris.
Anak-anak tidak mendapat ajaran yang sempurna kerana guru tidak terlatih dalam bahasa Inggeris. Amat zalim apabila anak-anak dipaksa bercakap dan menguasai konsep matematik dalam bahasa Inggeris yang mereka tidak faham. Mereka yang mempertahankan dasar ini berdosa kepada anak-anak, ibu bapa, guru serta bangsa Melayu keseluruhannya kerana ia adalah dasar yang salah.
Jadi kamu semua sudah faham mengapa kami semua mahu PPSMI dimansuhkan. Oleh itu demi kebaikan masa depan anak bangsa kami berusaha melawan agar Bahasa kita tidak dianaktirikan pada masa hadapan. Pimpinan sebuah Parti yang sebelum ini melaungkan mahu membela bangsa dengan menghunus keris kini tidak ubah menjadi manusia yang bacul di dalam dunia. Kamu semua sendiri sudah nampak siapa yang mengkhiati bahasa Melayu sebenarnya....
Tiada ulasan:
Catat Ulasan