Followers

Cari Blog Ini

Khamis, 24 Oktober 2013

Asri Gesa Politikus Hindari Isu Agama

Malaysia boleh menjadi lebih aman jika ahli politik “berhenti mempolitikkan perkara berkaitan agama dan akademik” dan membiarkan pihak berkenaan kedua-dua isu itu membuat keputusan, kata bekas Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin. “Rakyat kini keliru. Jika mereka (ahli politik) dari awal lagi mengikut prinsip ini, maka Malaysia tidak akan berada dalam keadaan seperti sekarang,” katanya kepada The Malaysian Insider, merujuk kepada kritikan keras yang diterima negara susulan daripada keputusan isu kalimah Allah. Minggu lalu, panel tiga hakim menukar keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 2009 yang membenarkan gereja Katolik menggunakan kalimah Allah dalam penerbitan mingguannya, Herald. 


 Cendekiawan Islam dan pemimpin agama di seluruh dunia mengkritik larangan itu dan menyatakan bahawa kalimah itu wujud sebelum Islam dan ia adalah perkataan yang membawa maksud Tuhan dalam bahasa Arab. Dr Asri, 42, professor madya di Universiti Sains Malaysia (USM) dan dikenali oleh penyokongnya sebagai “suara hujah” dan kepada pengkritik sebagai “penganjur liberalism”, adalah antara yang menghentam larangan penggunaan Allah kepada bukan Islam. Beliau sebelum ini pernah berkata bahawa selagi perkataan Allah itu digunakan untuk merujuk kepada “yang Maha Berkuasa”, masyarakat bukan Islam boleh menggunakannya. “Sebenarnya ia bukan isu. Orang Islam percaya kepada Tuhan yang satu. Jadi bagaimana kita hendak kata Tuhan kami berbeza daripada Tuhan saya,” katanya sebelum ini.

 Dalam temubual bersama The Malaysian Insider baru-baru ini, Dr Asri berkata, agak mengarut jika ada yang berkata perkataan Allah eksklusif untuk orang Islam. “Tamadun yang mengamalkan toleransi berkembang dan kekal sebagai masyarakat lebih lama berbanding mereka yang tidak,” katanya. Dr Asri, graduan pengajian Islam, mengeluh ketika ditanya mengenai senario agama dalam negara. “Ia amat berbeza sekarang berbanding 20 tahun lalu,” katanya. Beliau mengulangi pemerhatian awalnya bahawa politik dan isu agama tidak patut dicampuradukkan. “Orang agama ikut peraturan pengetahuan sementara ahli politik ada agenda dan ideology tersendiri,” katanya. Bekas mufti itu tersenyum ketika ditanya pendapatnya apabila ada yang mengaitkan namanya sebagai “suara Islam sederhana”. “Ini adalah Islam yang saya faham daripada Al-Quran. “Saya tidak melihat diri saya sebagai sederhana atau progresif. Pendapat saya atau apa yang saya cakap adalah apa yang saya belajar dalam agama saya dan saya tidak memihak kepada mana-mana parti politik,” katanya. Ketika meminta maklum balasnya mengenai tuduhan beliau menganjurkan liberalism menerusi pendapatnya, beliau yang berasal dari Pulau Pinang terjeda kemudian berkata:”Saya tidak suka dilabelkan begitu.” “Apa bukti yang mereka ada atas tuduhan itu,” katanya. Bagaimanapun, Dr Asri tidak sunyi daripada kontroversi dan beliau pernah ditahan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) pada 2009 kerana memberi ceramah tanpa tauliah di kawasan perumahan. Beliau akhirnya didakwa di mahkamah dan bantahan terhadap tangkapan itu menimbulkan kekecohan dalam negara, daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hingga ke pemimpin pembangkang. Kes mahkamah itu, katanya, masih berjalan. Cendekiawan Islam itu tersenyum malu ketika ditanya mengenai kehidupannya di luar lingkungan agama kurang diketahui umum. “Ya kerana saya lebih suka kehidupan peribadi saya tidak diketahui umum. Isteri saya memberi amaran beberapa kali supaya saya tidak bercakap mengenai isteri dan anak-anak,” katanya. Selepas dipujuk, Dr Asri kemudian memberitahu bahawa beliau bertemu kali pertama dengan isterinya yang dikahwini sejak 16 tahun lalu itu ketika mengajar sementara di sebuah sekolah di Pulau Pinang. “Saya bertemu dengannya ketika pulang bercuti kerana pada masa itu saya masih belajar di Jordan. Kami bernikah pada 1997,” katanya.

 Pasangan itu dikurniakan tiga anak perempuan dan dua lelaki, berusia antara dua hingga 16 tahun. Dr Asri mula berminat dnegan pengajian Islam ketika di sekolah rendah, dan bapanya kemudian memberi galakan dengan menghantarnya ke sekolah agama Al-Irshad di Pokok Sena untuk sekolah menengah. Beliau kemudian ke Kolej Islam Klang melanjutkan tingkatan 4 dan 5 sebelum berlepas ke Universiti Jordan pada 1995 untuk belajar bahasa Arab dan Undang-undang Syariah. Selepas kembali ke Malaysia, Dr Asri mengajar mata pelajaran agama di Sekolah Menengah Kebangsaan Raja Tun Uda di Pulau Pinang sebelum melanjutkan pelajarannya ke peringkat sarjana di USM. Beliau kemudian memperolehi ijazah kedoktoran dalam jurusan Ilmu Wahyu dan Warisan Islam (Pengajian Al-Quran dan Sunnah) daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. “Saya bekerja di USM selama tiga tahun dan kemudian dipinjamkan ke kerajaan negeri Perlis sebagai mufti dari 2006 hingga 2008,” katanya. Beliau turut menjalani Fellowship di Pusat Pengajian Islam Oxford di United Kingdom 

Tiada ulasan: