Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim (gambar) menuntut semua anggota Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) meletakkan jawatan beramai-ramai atas kegagalan melaksanakan tanggungjawab mengikut Perlembagaan Persekutuan bagi menjalankan ulang kaji persempadanan.
Anwar berkata, Perkara 113 (2) dan 113 (3) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan ulang kajian bahagian-bahagian pilihan raya dijalankan oleh SPR dengan jarak tempoh tidak kurang daripada lapan tahun antara tarikh siapnya ulang kajian yang terdahulu.
Katanya, kerajaan mengesahkan persempadanan terdahulu bagi Semenanjung dan Sabah diluluskan pada 21 Mac 2003, manakala Sarawak pada 10 Jun 2005.
Sehubungan itu, katanya, lat tempoh Semenanjung dan Sabah berakhir pada 21 Mac 2011 dan sepatutnya ulang kajian masing-masing bermula selepas itu manakala tindakan sama perlu diambil kepada Sarawak selepas 10 Jun 2013.
"Tuntutan dan tanggungjawab Perlembagaan ini terus terabai. SPR gagal melaksanakannya.
Ini pengabaian dan kegagalan serius," katanya.
Sebelum ini, katanya, SPR gagal mengendalikan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) secara adil dan bebas kerana pelbagai masalah berbangkit atas kepincangan proses isu dakwat yang tidak kekal dan daftar pemilih tercemar.
Sehubungan itu, katanya, Pakatan Rakyat mendesak semua anggota SPR meletakkan jawatan atas pengabaian dan kegagalan melaksanakan tanggungjawab Perlembagaan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan