Followers

Cari Blog Ini

Sabtu, 16 November 2013

Punca Ramai Batal Hasrat Peluk Islam ??

SEKALIPUN mengucapkan kalimah syahadah sejak 17 tahun lalu, Tokoh Saudara Kita peringkat negeri Selangor , Lim Jooi Soon berusia 44 tahun tidak menukar namanya sebagaimana budaya di Malaysia. Biarpun ramai tertanya-tanya mengapa tidak ‘berbin Abdullah’, beliau sebenarnya mahu merubah tanggapan masyarakat bahawa bertukar agama tidak semestinya menukar nama. 

 Apatah lagi, amalan menukar nama bapa kepada ‘bin Abdullah’ tidak diamal pada zaman Nabi Muhammad s.a.w tetapi ia begitu membudayai masyarakat mualaf di negara ini.Jooi Soon menyatakan Rasulullah hanya menasihati mereka yang memeluk Islam menukar nama asal kepada nama yang membawa maksud baik. Dan, nama yang mempunyai makna baik bukan semestinya dalam bahasa Arab. Apatah lagi, mengekalkan nama penuh dalam bahasa ibunda perkara penting di kalangan masyarakat Cina kerana setiap perkataan membawa pengertian tertentu. 

 “Saya kekalkan nama asal kerana maksud di sebalik nama itu membawa pengertian yang indah dan terpuji dalam masyarakat dan budaya Cina, malah tidak melanggar syariat. “Lim adalah nama keluarga, Jooi nama keturunan dan Soon nama diri saya. Bayangkan apabila ada sebahagian masyarakat Cina yang mahu peluk Islam terpaksa membuang nama keturunan. “Ia seolah-olah memutuskan pertalian dari nasab keturunan,” katanya kepada Selangor Kini. Hakikatnya, Jooi Soon berkata, ramai masyarakat Cina membatal hasrat memeluk Islam kerana bimbang nama keturunan ‘terpaksa’ dibuang atau diganti. Tanpa menukar nama, beliau percaya tanggapan masyarakat bukan Islam betapa memeluk Islam itu bermakna ‘masuk Melayu’ dapat dihakis, sekaligus menunjukkan Islam agama syumul dan universal. 11Jooi Soon dianugerah Tokoh Saudara Kita 1435H/2013M yang disampaikan Tengku Panglima Diraja Selangor, YAM Tengku Sulaiman Shah ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah. 


 Anugerah itu bersempena sambutan Maal Hijrah peringkat Selangor pada 5 November lalu. Ia disampaikan Tengku Panglima Diraja Selangor, YAM Tengku Sulaiman Shah ibni ALmarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di Masjid Negeri Shah Alam. Menyingkap kembali peristiwa 17 tahun lalu, perasaan syukur, lega dan tenang dirasai Jooi Soon setelah mengucap kalimah syahadah. Tiada siapa menduga beliau dikurnia hidayah Islam sekalipun sejak kecil, beliau menganut kepercayaan Buddhisme, Taoisme, Confusianisme dan beralih kepada Kristian pada awal usia 14 tahun. Bagaimanapun, perasaan sedih dan risau tetap menyelubungi dirinya kerana keluarga dan sahabat terdekat masih tidak memeluk Islam. 

 Bagi mendalami agama, beliau kemudian menuntut di Islamic Education Trust Nigeria selama 12 tahun dan Australia selama empat tahun dalam ‘Bible Student‘. Lantaran minat terhadap dakwah mendorong Jooi Soon berkhidmat sebagai pendakwah bebas dan mengadakan banyak ceramah baik dalam mahupun luar negara. 19Beliau kini bertugas sebagai Pegawai Dakwah Persatuan Cina Islam Malaysia (MACMA) Cawangan Selangor. Malah, turut terlibat menganjurkan kursus ‘Training The Trainer‘ anjuran Nuruddin Lemu dan Aisyah Rodrigo daripada Islamic Education Trust Nigeria. Beliau juga penganjur kepada Kursus Interactive Dakwah Training, khusus untuk anak-anak muda dan golongan profesional. Selain kerap terlibat sebagai ahli panel forum perbandingan agama dan kauseling keluarga, Jooi Soon juga aktif sebagai pelatih kader-kader dakwah kepada mualaf dan menguruskan kes murtad./Selangorkini.net

Tiada ulasan: