KAJANG 23 MAC: Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, beliau berpuas hati dengan sistem pengundian PRK DUN Kajang hari ini yang dilihat lebih tenang dan teratur.
Kata Abdul Khalid beliau berpuas hati dengan keadaan dan penyelenggaraan pilihan raya DUN Kajang kali ini.
“Tapi pengundi sekarang lebih matang, walaupun kita tak boleh berkempen sejak pukul 12 malam tadi, tapi saya yakin Wan Azizah akan menang di Kajang,” kata Khalid.
Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yakin pengundi Kajang memilih calon Pakatan Rakyat, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai ADUN Kajang yang baru.
Beliau berkata,Wan Azizah berkemampuan untuk menumpaskan lawannya, Naib Presiden MCA, Datin Paduka Chew Mei Fun, yang mewakili BN.
“Saya yakin kemenangan akan berpihak kepada kita, InsyaAllah tapi kita kena kerja kuat.
“Dari segi pengundi, saya yakin dengan mereka, mereka dah lihat apa yang BN lakukan kepada mereka, jadi mereka tahu untuk menilainya,” kata Anwar.
Bagaimanapun, katanya, hanya pengundi yang mampu menilai calon lebih layak bagi menerajui kawasan itu, yang dianggap sebagai ‘Langkah Kajang’ ke Putrajaya.
Sebanyak 16 pusat mengundi dibuka untuk membolehkan orang ramai membuang undi dan memilih wakil rakyat baru di kawasan mereka.
Pengiraan undi dari 18 daerah mengundi Kajang akan dilakukan di Stadium Majlis Perbandaran Kajang dengan keputusan dijangka diketahui secara berperingkat tidak lama selepas pengundian ditutup jam 5 petang ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan