MELAKA - Jabatan Meteorologi akan memfokuskan proses pembenihan awan di semua kawasan empangan di pantai barat Semenanjung Malaysia bagi meningkatkan paras air di empangan itu bermula bulan depan.
Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Dr Abu Bakar Mohamad Diah berkata antara empangan yang terlibat ialah Empangan Muda dan Empangan Pedu di Kedah; Empangan Klang Gate di Kuala Lumpur; dan Empangan Jus di Jasin dekat sini.
Katanya pembenihan awan di kawasan itu juga dilakukan berikutan permintaan daripada pengendali empangan bagi memastikan air di empangan berkenaan tidak berada pada paras kritikal.
Beliau berkata lapan operasi pembenihan awan dilakukan di beberapa lokasi di Selangor, Melaka, Negeri Sembilan, Johor, Pahang dan Selangor antara 3 Mac dan Jumaat lepas.
Katanya bulan depan Semenanjung Malaysia dijangka menerima taburan hujan 50mm hingga 150mm; Sarawak antara 100mm dan 200mm; dan Sabah 100mm hingga 300mm.
Sementara itu, Abu Bakar berkata Pejabat Meterologi Melaka yang berpangkalan di Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka itu siap dinaik taraf pada Februari 2009 dengan kos berjumlah RM2.3 juta.
Pejabat itu dilengkapi dengan pelbagai peralatan kaji cuaca yang canggih bernilai RM2.6 juta dan ramalan ketepatan kaji cuaca di Melaka dijangka mencapai lebih 85 peratus. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan