Followers

Cari Blog Ini

Selasa, 26 Ogos 2014

Konvoi Jelajah Merdeka bergerak ke Selatan

KUALA LUMPUR: Konvoi Jelajah Kemerdekaan SeMalaysia hari ini memasuki fasa kedua apabila mula bergerak ke arah selatan, iaitu ke Negeri Sembilan, Melaka dan Johor. Pelepasan konvoi fasa kedua ini disempurnakan Pengarah Program Jelajah, Tan Sri Muhamad Muhamad Taib, yang juga merangkap Timbalan Pengerusi Lajnah Penerangan dan Hubungan Media PAS Pusat, di Masjid Putra, Putrajaya, pagi tadi. Konvoi ini turut membawa akhbar Harakah dengan sisipan Fikrah edisi Merdeka, untuk diedar di 'chek point' sepanjang laluan. Konvoi jelajah fasa kedua ini bergerak ke destinasi pertama di Seremban dan menemui Syeikh Zaki Syeikh Ahmad, yang merupakan anak kepada Almarhum Mufti Pertama Negeri Sembilan dan Malaysia, Allahyarham Syeikh Ahmad Syeikh Muhammah yang membacakan doa semasa Majlis Pengisytiharan Kemerdekaan 1957 oleh Tengku Abdul Rahman Al Haj di Kuala Lumpur. 


 Seterusnya, peserta konvoi bergerak ke Linggi bagi menziarahi makam Tuan Guru Sheikh Muhmmad Said Linggi dan Sheikh Ahmad, sebelum ke Naning bagi menziarahi Makam Dol Said. Menurut salah seorang peserta jelajah, Aidy Idzham Ismail sebelum ke Melaka, peserta jelajah akan bermalam di Seremban terlebih dahulu. Jelajah seterusnya akan ke Melaka keesokan harinya dengan melawat Masjid Tengjera, yang merupakan masjid tertua di Tanah Melayu, sebelum bergerak ke Johor. Konvoi yang sudah memasuki hari kesembilan itu dipenuhi dengan program yang diatur bersama PAS negeri atau kawasan-kawasan, antaranya pertemuan dengan anak muda bagi mendedahkan tentang tokoh-tokoh kemerdekaan negara di kalangan ulama. 


Program jelajah ini dianjurkan bagi mencungkil peranan tokoh-tokoh agama yang terlibat dalam perjuangan memerdekakan negara, yang tidak pernah disebutkan di dalam buku-buku Sejarah. Dalam masa sama, ia juga menjadi medan untuk bertemu anak muda di negeri yang disinggah untuk memberikan penerangan dan pendedahan berkaitan tokoh-tokoh kemerdekaan yang berasal dari negeri mereka sendiri. Sebelum ini, jelajah tujuh ahli ARC ini berjaya menjelajah dengan motorsikal berkuasa besar ke Pahang, Kelantan, Terengganu, Perak, Pulau Pinang, Perlis, dan Kedah yang termasuk dalam siri jelajah pertama. Konvoi ini bermula 18 Ogos lalu, di Temerloh, Pahang. Penjelajahan ini akan menemui kemuncaknya di Kelab Sultan Sulaiman, pada malam merdeka, 30 Ogos 2014. Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dijangka akan menyambut kumpulan konvoi berkenaan pada hari tersebut.

Tiada ulasan: